AYER KEROH: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing minggu lalu.

Tertuduh, T.S Praveen dan Muhammad Safri Idris yang berusia 31 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dan mengambil satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad ATM dengan kerugian lebih kurang RM1,800 milik mangsa.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di antara jam 10 malam sehingga 11.30 malam di dalam hotel bajet di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April 2023 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa, seorang warga Indonesia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kota Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang serta memohon untuk tidak mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

Beliau turut memaklumkan ayah Praveen merupakan seorang pesara polis yang berkhidmat selama 41 tahun, manakala isteri Safri juga merupakan anggota polis serta mempunyai seorang anak berusia tiga bulan.

Hakim Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Mei ini sebagai sebutan semula kes.